Album

Album
Album2010

Saturday, 18 August 2001

PELAN INDUK PERTANIAN NEGERI TERENGGANU 2001-2010

BAB I   (RINGKASAN)


1.                  LATAR BELAKANG:

1.01.          Sektor pertanian merupakan sektor utama yang memberi sumbangan gunatenaga terbesar berbanding dengan sektor-sektor lain di Negeri Terengganu.

1.02.          Pelan Induk Pertanian Negeri diperkenalkan untuk mengimbangi dayasaing sektor ini yang berpotensi dengan wawasan Kerajaan Negeri untuk mencukupkan bekalan hasil pertanian melalui pembangunan pertanian secara komersil

1.03.          Kemerosotan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negeri di akhir tahun lapan puluhan dan akhir sembilan puluhan dapat dilihat dari petunjuk-petunjuk berikut:-

(i)                   Sektor ini menyumbangkan 4.74 peratus kepada KDNK negeri pada tahun 2000.

(ii)                 Gunatenaga pula menurun kepada 26.20 peratus pada tahun 2000.

(iii)                Sektor ini mempunyai seramai 81,829 orang dari 312,323 orang yang bekerja di Negeri ini dan merupakan  penyumbang utama gunatenaga dalam negeri.

(iv)                Pergantungan kepada beberapa jenis komoditi eksport seperti getah dan kelapa sawit menyebabkan kemerosotan berterusan.

(v)                  Wujudnya pelbagai masalah dan halangan yang berbentuk struktur, perundangan dan institusi yang terus menghalang pembangunan lebih pesat.

2.         AGENDA PEMBANGUNAN  NEGERI:

2.1.             Agenda pembangunan Kerajaan Negeri pada masa kini akan direalisasikan di bawah tema Negeri Maju Berteraskan Islam.

2.2.             Wawasan ini akan direalisasikan dengan tema Membangun Menurut Islam, dan matlamat Menuju Tahap Pembangunan Al-Falah.

2.3.             Komponen pembangunan akan merangkumi dua teras: insan dan ekonomi.

2.4.             Elemen-elemen utama dalam pembangunan insan ialah iman, ilmu dan amal. 

2.5.             Manakala pembangunan ekonomi pula ialah industri, prasarana dan sumber manusia.

3.         PELAN INDUK PERTANIAN NEGERI TERENGGANU:

3.1.             Pelan Induk Pertanian Negeri Terengganu sehingga mengambilkira tahun 2010 diselaraskan dengan dasar-dasar semasa untuk mempercepatkan proses pertukaran sektor pertanian kepada bentuk lebih moden dan komersil.  .

3.2.             Bagi tempoh ini juga Kerajaan Negeri Terengganu akan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi memenuhi permintaan dalam negeri terutamanya pengeluaran makanan.  Kelemahan-kelemahan mengenai perundangan tanah serta halangan-halangan lain akan diatasi.  Penglibatan sektor swasta akan digalak dan dipertingkatkan.

4.         OBJEKTIF PELAN INDUK PERTANIAN NEGERI:

4.1.             Objektif atau matlamat Pelan Induk Pertanian ini ialah memaksimumkan pendapatan sektor pertanian melalui penggunaan sumber secara optimal.  Ini termasuk memaksimumkan sumbangan pertanian kepada pendapatan negeri dan pendapatan eksport serta memaksimumkan pendapatan pengeluar.

4.2.             Pelan Induk ini merancang peningkatan pendapatan petani-petani luar bandar dan memperbaiki kualiti hidup mereka di samping mengekalkan tenaga buruh produktif. Objektif ini juga digubal dengan mengambilkira hubungan di antara sektor pertanian dengan sektor ekonomi yang lain, pengalihan gunatenaga dan kepentingan sektor pertanian dalam pembangunan negeri.

4.3.             Tanaman makanan seperti padi, buah-buahan, sayur-sayuran, pengeluaran daging dan ayam, perikanan marin dan akuakultur, herba, perladangan berintegrasi, agrotourism dan rangkaian pemasaran untuk semua kegiatan akan diberi penekanan di dalam tempoh 2000 – 2010 dengan tumpuan pengeluaran untuk memenuhi keperluan dalam negeri dan eksport.

5.   MATLAMAT KHUSUS

(i)                   Untuk meningkatkan sekuriti makanan.   

(ii)                 Untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian.

(iii)                Untuk mengeratkan lagi rantaian dengan sektor lain.        

(iv)                Untuk mewujudkan sumber pertumbuhan yang baru bagi sektor pertanian;

(v)                  Untuk memulihara dan menggunakan sumber semulajadi secara mampan.

(vi)                Untuk menarik pelaburan kepada industri makanan.

(vii)               Untuk menyedia kemudahan prasarana pertanian.

6.         STRATEGI:

6.1.      Memenuhi keperluan makanan negeri

Pengeluaran makanan tempatan akan dipertingkat melalui pengeluaran makanan berskala besar oleh swasta. Pelaburan luar dan pelaburan timbal balik untuk tujuan perolehan sumber akan digalak dan dilakukan secara berhati-hati.

6.2      Meningkatkan daya saing dan daya untung

dalam pertanian dan perhutanan
            Daya saing sektor akan ditingkatkan melalui penambahan produktiviti, pemajuan dan pengukuhan pasaran, penggubahan dan pelaksanaan standard kualiti dan standard keselamatan yang tinggi serta pembangunan perusahaan pertanian dan perhutanan secara berpilih saing yang berpotensi.

6.3        Meningkatkan pembangunan bersepadu sektor kecil makanan dan tanaman industri
Sektor kecil tanaman industri dan tanaman makanan boleh dimanfaatkan untuk membangunkan kedua-dua persepaduan sumber ini termasuk tanah, buruh dan sisa-sisa serta juga produk sampingan yang boleh digunakan untuk mengeluarkan produk nilai ditambah termasuk R & D.

                        6.4.       Mengukuhkan ekonomi makro
Kekukuhan ekonomi makro negeri adalah wajar dan perlu untuk menyokong dan mengekalkan pembangunan industri pertanian dan perhutanan utama yang sediada dan untuk merintis pertumbuhan industri baru. 

6.5.       Menerimapakai pembangunan mampan

Penggunaan sumber secara mampan akan dijadikan prinsip panduan dalam membangunkan sektor pertanian dan perhutanan.  Peraturan, kaedah dan insentif akan diperkukuh untuk menggalakan amalan pertanian dan perhutanan yang mesra alam dan untuk meminimumkan kesan negatif aktiviti ini ke atas alam sekitar. 

6.         FOKUS:

6.01     Di sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, sektor pertanian terus mencatat kadar pertumbuhan yang menggalakkan dari segi nilai ditambah (value added) iaitu sebanyak 3.2 peratus pada tahun 1995 berbanding 7.29 peratus pada tahun 2000. Penyumbang utama kepada pertumbuhan ini ialah kelapa sawit, getah, perikanan dan ternakan.

6.02            Hubungan antara sektor pertanian dengan sektor pembuatan terus bertambah kukuh, di mana sektor pertanian bertindak sebagai pembekal bahan mentah. Pengilangan hasil-hasil pertanian seperti minyak masak, ikan dan hasil tenusu telah bertambah.

6.03            Sektor Pertanian Negeri ini perlu meningkatkan dayasaing menjelang AFTA, petani, penternak dan nelayan akan mula menghadapi persaingan secara terbuka yang perlu dilakukan di peringkat negara-negara ASEAN.

6.04            Di antara strategi meningkatkan keupayaan sektor pertanian termasuklah pembangunan sumber manusia, meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran, mewujudkan zon-zon pengeluaran makanan dan memperkukuhkan sistem pemasaran.

6.05            Sektor pertanian perlu ditransformasikan menjadi satu sektor yang moden dan cekap.


7.         KEMUDAHAN PRASARANA PERTANIAN:

7.01            Kemudahan infrastruktur di semua sub sektor akan dirangsang bagi menggiatkan bidang tanaman, perikanan dan ternakan terus berkembang. Kemudahan seperti tempat pengumpulan hasil, tempat pendaratan bot dan sampan serta penyediaan kawasan kekal untuk ternakan akan diperbanyakkan selain dari bekalan air ke sawah, ladang dan jalan pertanian.

8.         SEKTOR TANAMAN :

8.01            Komoditi utama iaitu kelapa sawit dan getah menguasai lebih 82.56% gunatanah negeri.  Keluasan tanaman kelapa sawit telah meningkat kepada 156,440 hektar pada tahun 2000 manakala tanaman getah telah menurun kepada 81,015 hektar dalam tempoh yang sama. 

9.         SEKTOR TERNAKAN:

9.01            Perusahaan ternakan di negeri ini berkembang dengan kadar yang rendah.  Nilai pengeluaran ternakan dan hasil-hasil ternakan pada harga ladang juga telah meningkat kepada RM 134.31 juta pada tahun 2000 berbanding dengan RM75.09 juta pada awal 1996.  Setakat ini pengeluaran buah-buahan makanan yang berasaskan protin haiwan seperti daging, telur dan susu masih rendah dan belum memenuhi keperluan tempatan.

10.       SEKTOR PERIKANAN

10.01        Pada tahun 2000 terdapat seramai 8,577 orang nelayan dan 2,411 buah bot berdaftar.  Dari jumlah ini 6,765 orang adalah nelayan tempatan manakala baki seramai 1,812 orang adalah terdiri dari nelayan asing. Pendaratan ikan laut telah meningkat iaitu dari 92,493 tan metrik pada tahun 1996 ke paras 120,615 tan metrik pada tahun 2000.  Pendaratan ikan dijangka stabil antara 100,000 – 150,000 tan metrik menjelang tahun 2010.

11.       PEMASARAN HASIL PERTANIAN :

11.01        Pemasaran barang atau hasil pengeluaran pertanian dilakukan secara terbuka, setengah pengeluar memasarkan hasil pengeluaran mereka melalui orang tengah atau pemborong. Potensi pasaran hasil keluaran pertanian akan terus menjadi semakin kompetatif samada di dalam negeri atau luar negara.

12.       PEMBANGUNAN MANUSIA, PENYERTAAN SWASTA DAN GALAKAN DAGANGAN HASIL  PERTANIAN:

12.01        Menggalakkan lebih ramai gunatenaga professional dan mahir untuk memperkukuhkan produktiviti dan daya saing dalam bidang pertanian.  Meningkatkan dagangan hasil pertanian dengan membangunkan pusat makanan halal, laluan pasaran yang lebih luas serta menggalakkan pemasaran terus.

13.       RINTANGAN DAN HALANGAN:

Halangan utama dalam melaksanakan dasar terdahulu adalah:
·         daya pengeluaran hasil yang rendah,
·         masalah pemasaran,
·         pengurusan yang tidak cekap,
·         sikap yang tidak sensitif kepada kemajuan,
·         kekurangan modal dan tenaga kerja,
·         penggunaan teknologi yang rendah dan
·         kekurangan infrastruktur serta skim-skim insentif. 
Berdasarkan kepada kelemahan-kelemahan ini, PIPNT disediakan selaras dengan Pelancaran Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).

14.       KHIDMAT SOKONGAN :

14.1     Peranan Institusi Kerajaan
Institusi Kerajaan akan dikaji semula untuk meningkatkan keberkesanan program pembangunan dan penyampaian khidmat sokongan kepada perusahaan pertanian bagi mencapai objektif perniagaan dan meningkatkan daya saing mereka di peringkat antarabangsa. 

14.2      Pengembangan  Pertanian

Pengembangan pertanian dalam sub sektor tanaman, ternakan dan perikanan akan dipertingkatkan.  Penekanan pengembangan ditumpukan terhadap isu-isu impak ke arah pengeluaran produk berkualiti.  Pelbagai latihan akan dijalankan bagi mewujudkan lebih ramai usahawan dalam sektor-sektor yang berkenaan serta mengemaskini pengetahuan dan kemahiran.   

14.3.     Kredit Pertanian:
Pembiayaan bagi projek-projek pertanian serta industri huluan dan hiliran perlu diperolehi dari sumber sendiri atau institusi kewangan.  Keutamaan pemberian kredit perlu diutamakan kepada projek-projek berteknologi tinggi dan berdaya maju.

15.               KESIMPULAN :

Pelan Induk Pertanian Negeri Terengganu yang digubal semula sehingga tahun 2010 mengemukakan beberapa perubahan penting selaras dengan pelancaran Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) bagi menentukan pembangunan sektor pertanian dapat memainkan peranan ke arah meningkatkan sumbangan sektor ini kepada pembangunan ekonomi Negeri Terengganu.  Matlamat pelan ini juga dirangka dengan lebih jelas supaya mudah untuk dilaksanakan dan dinilai.

Disediakan oleh:  PP(Pertanian), UPEN

SUMBER: http://cheabdrani.tripod.com/indukpertanian.htm

No comments:

Post a Comment