Album

Album
Album2010

Sunday, 22 April 2012

Senarai Panjang Perilaku Terkutuk dan Zalim, Umno/BN Merampas Tanah Rakyat

KUALA TERENGGANU - Menurut Pengerusi Gerakan Pembelaan Tanah Rakyat Terengganu (GEMPAR), sesuatu pembangunan yang mahu dilakukakn oleh mana-mana pihak diatas mana-mana tanah, mestilah mendapat persetujuan dari pemilik tanah tersebut.

“Tanpa ugutan, tanpa sogokan, tanpa intimidasi, tanpa apa-apa pengaruh dari pihak yang memajukan,

“dan sekiranya ada pengaruh yang menyebabkan pemilik tanah terpaksa menyerahkan hak memajukan tanah, ia adalah satu rampasan hak yang melanggar perlembagaan negara,”ujar Haji Salleh Embong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Kampung Banggol Donas.

Bukan setahun dua, malah sejak berpuluh tahun yang lalu, kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) telah melakukan khianat merampas tanah-tanah rakyat di negeri Terengganu.

Termaktub dalam sejarah, sejak pemerintahan Umno dibawah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, kerajaan zalim itu sudah ‘menyodok dan memama’h bangunan sekolah agama rakyat.

Pada 19 November 1991, sebuah sekolah rakyat yang bernama Institut Berakan telah dirobohkan di subuh hari, (Gambar kanan) akibatnya, ratusan para pelajar hilang kerusi meja dan bangunan tempat mereka menimba ilmu.

Bukan sekadar roboh, sisa-sisa runtuhan yang di’tohok’ di satu lokasi di Chendering, Kuala Terengganu, dibuang  bersamanya, cebisan-cebisan kitab suci al-Quran yang  hancur lumat, koyak rabak akibat ‘cincangan’ jentolak milik Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) ketika itu.

Pada 25 Mei, 2005, sewaktu kerajaan Umno Terengganu dipimpin oleh orang ‘gedebe’ Besut Dato’ Seri Idris Jusoh, mereka telah merobohkan Masjid Bujal di Kijal, Kemaman.

Masjid Bujal dirobohkan kerana mahu menghapuskan jasa baik kerajaan PAS Terengganu (1999-2004) yang memberikan tanah kepada rakyat. 

Tujuan dan niat jahatnya supaya tidak ada apa yang bekas kerajaan PAS buat sepanjang menjadi pemerintah satu penggal dan hanya Umno yang ada jasa kepada rakyat dalam semua segi.

Perobohan masjid Bujal adalah kemuncak segala kejahatan (mother of all evil) yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Dalam membela diri mempertahankan kejahatan mereka, pemimpin Umno mendakwa ia bukan sebuah masjid tetapi ia adalah markaz PAS.

Namun semua pihak yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri, ataupun menyaksikan video rakaman perobohan rumah Allah itu, dapat melihat dengan jelas dan membezakan antara kebenaran dan penipuan pemimpin Umno.

Bukankah ada dikalangan mereka yang bergelar ‘Ustaz’ menjadi pemimpin Umno atau sekurang-kurangnya mereka yang pernah mengaji Islam seperti Ramli Nuh, Khazan Che Mat dan Rosol Wahid.

Tidakkah mereka mengetahui hatta sekiranya ia sebuah tokong Buddha, kuil Hindu dan gereja sekali pun, hukumnya haram ia dirobohkan.

Walau dalam peperangan yang berkecamuk, Nabi Muhammad SAW melarang perbuatan terkutuk itu sama sekali, ini kan pula waktu aman sentosa.

Beratus-ratus ekar tanah yang diberikan kepada rakyat oleh kerajaan negeri Terengganu sewaktu pemerintah PAS dirampas kerana ‘dendam kesumat’ pemimpin Umno.

Bersungguhnya pemimpin Umno bertolong-tolongan antara satu sama lain melakukan kezaliman sehingga kerajaan ketika itu membentuk satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dato’ Che Mat Jusoh selaku Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri ketika itu.

Ramai yang mengatakan, doa mereka yang dizalimi, mereka yang diroboh rumahnya dan dirampas tanahnya itu telah dimakbulkan oleh Allah SWT.

Lihat ‘bala’ yang turun kepada Idris Jusoh, tidak semena-mena walaupun Umno yang dipimpinnya menang pada pilihanraya Umum ke-12, beliau tidak berupaya menentang ‘kehendak Allah’ yang mentakdirkan orang lain menjadi Menteri Besar Terengganu.

Che Mat Jusoh pula, sedang terkial-kial menghadapi pelbagai krisis yang sehingga kini, cita-cita dan hasratnya untuk bergelar yang berhormat, belum menjadi kenyataan.

Kemana sahaja beliau pergi, pasti ‘musykilah’ mengekori beliau.

Pada tahun 2008, ketika bersungguh-sungguh yakin menjadi calon untuk Umno, namanya ditolak mentah-mentah dan kerusi Batu Burok diberikan kepada Ketua Puteri Umno.

Terbaru, Che Mat Jusoh, menjadi mangsa bantahan ketidakpuasan hati peminat bolasepak negeri Terengganu.

Sudah dua kali termasuk yang berlaku semalam, dinihari 22 April, bantahan terbuka mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai sebagai Pengurus pasukan bolasepak negeri.

Sebelum itu, penyokong bolasepak yang membantah beliau telah memberi kata dua kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

“Samada Ahmad memecat Che Mat Jusoh atau Ahmad Said akan dipecat oleh rakyat pada pilihanraya akan datang,”kata salah seorang ketua pembantah pasukan bolasepak yang tidak puas hati dengan kekalahan yang dialami.

Beranikah Ahmad said memcat sekutunya dalam mengkhianati tanah rakyat Terengganu itu?

Ketika Che Mat Jusoh menjadi Pengerusi mengkaji tanah-tanah yang diberikan oleh kerajaan PAS, Ahmad Said lah ‘dalang’ sebenar disebalik perobohan masjid Bujal.

Ketika itu beliau adalah ADUN Kijal yang juga Exco Kerajaan tempatan, yang bertanggungjawab keatas penguatkuasaan menghambat dan meroboh penempatan Rancangan Tanah Berkelompok  (RTB) Kampung Bujal yang terletak dalam daerah Kemaman.

Kejahatan yang sama umpama Yahudi meroboh rumah rakyat Palestin pernah bergema di ruang Sidang dewan undangan Negeri Terengganu apabila ADUN Wakaf Mempelam, Wahid Endut, menggelar Umno lebih jahat daripada Yahudi.

Wahid berkata demikian kerana bukan sahaja meroboh RTB Bujal, malah beratus rumah rakyat di RTB RTB Pengkalan Merbau di Setiu, RTB Padang Landak dan RTB Padang Luas dalam Dun Jerteh menjadi mangsa kezaliman Umno.

Belang kejahatan Ahmad Said semakin ditonjol-tonjolkannya, apabila menjadi orang yang paling berkuasa di negeri Terengganu.

Ahmad Said sehingga kini berbohong kepada 500 penduduk  Kampung Pak Bang dan Kampung Che Long yang akan menjadi pelarian ditanah air sendiri, berikutan keputusan kerajaan mahu meneruskan pembinaan pengangkutan dan kompleks pejabat kerajaan yang baru.

Ketika berlangsung pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada Januari 2009, Ahmad Said telah berjanji akan menggantikan tanah yang dirampas dari penduduk terbabit.

Namun sebaliknya, bukan sahaja tidak mendapat tanah ganti, penduduk Kampun Pak Bang dan Kampung Che Long dekat Bukit Besar itu, dibayar pampasan terlalu murah RM6.45 sekaki persegi.

Tidak lama selepas itu, pada bulan Februari 2010, rakyat Terengganu termasuk ahli Umno sendiri di kampung Paya Bunga tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu disodok dan dimamah jentolak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pula.

Penduduk Kampung Paya Bunga bukannya setinggan yang tinggal secara ‘haram’ sebagai didakwa kerajaan Umno/BN.

Mereka memiliki tanah tersebut secara Lesen Menduduki Sementara (LMS) yang diwarisi daripada ibu bapa mereka sejak tahun 47 tahun sebelumnya.

Pada bulan September 2010, jiran kepada penduduk Kampung Paya Bunga, Kampung Warisan Ladang pula menjadi sasaran kerakusan pembangunan kerajaan Ahmad Said.

Lebih dahsyat lagi, demi melaksanakan kehendak ‘nafsu’ pemimpin Umno, Ahmad Said berjanji kepada penduduk Kampung Ladang, bukan setakat rumah gantian secara sewa beli, bahkan katanya penduduk Ladang akan mendapat hadiah sekiranya mengundi Umno/BN dengan potongan harga rumah bernilai sebuah Proton Saga.

“Saya beri jaminan bahawa subsidi yang akan kita (kerajaan) beri harganya lebih dari sebuah harga Proton Saga. Tapi kita tidak beri lagi sekarang ini dan kita kena tengok juga pilihan raya ini. Biasalah, memberi dan menerima,”janji Ahmad sewaktu perjumpaan dengan penduduk.

Sehingga kini bukan sahaja janji Ahmad kepada penduduk Ladang tidak ditunaikan, malah janji Idris Jusoh kepada penduduk Ladang juga telah dilupakan.

Kemudian, pada awal Februari 2011, 500 orang penduduk dari Kampung Pak Pa, Kampung Gelugor Raja Masjid, Kampung Gelugor Raja, Kampung Tok Jamal dan Kampung Panji, keluar ke jalan raya, membantah rampasan tanah mereka, yang akan dibina tangki najis bersepadu di atasnya.

Sebagaimana bantahan rakan-rakan mereka yang teraniaya, mereka menuntut janji Umno/BN sebuah penempatan baru yang tidak pernah tertunai sehingga kini.

Sementara itu, di Kuala Nerus,  Kampung Banggol Donas bakal lenyap sepenuhnya sekiranya pembinaan jalan suusur keluar lebuhraya Pantai Timur dan jambatan Jeram dilaksanakan sepenuhnya.

Bantahan mereka terhadap rampasan tanah dan rumah telah bermula sejak tahun 2008 lagi apabila cadangan jajaran dikemukakan.

Mereka tidak bersetuju dengan  jajaran yang disifatkan sengaja, atas niat tertentu, memusnahkan rumah kediaman dan tanah mereka.

Terlalu banyak konspirasi pemimpin Umno Terengganu, yang tidak terungkai dalam episode rampasan tanah di Banggol Donas sehingga arahan dari pejabat Perdana Menteri pun tidak laku.

Begitu juga yang berlaku di Setiu di mana Rancangan tanah Berkelompok (RTB) Kubang Labi dekat Permaisuri di rampas kerana mahu membina kolam udang putih bersepadu bersepadu, bermula  Julai tahun 2010.

Tujuh puluh orang petani yang sedang mengusahakan tanaman dengan keluasan tanah 150 ekar menjadi mangsa.

Di Setiu juga, tanah padi Jelapang yang menjadi rintahan dan umarah puluhan tahun akan dirampas oleh kerajaan Umno untuk dijadikan mini estate padi.

Lima puluh orang petani yang melibatkan 200 ekar tanah keluar membantah di kawasan sawah padi mereka pada November 2011.

Hak rakyat yang megusahakan dan menghidupkan tanah menurut Islam, dinafikan oleh kerajaan Umno/BN yang kononnya mendakwa mengamalkan ajaran Islam dalam pemerintahan berslogankan ‘merakyatkan pembangunan dan pentadbiran’.

Setiap tahun, ada sahaja tanah rakyat yang dirampas oleh kerajaan Umno/BN Terengganu, dan tahun 2012 merupakan ulangan peristiwa rampasan tanah Institut Berakan yang berlaku 20 tahun lalu.

Tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan di Paka, Dungun dirampas dan diberikan kepada lima Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) yang juga merupakan pemimpin Umno setempat.

Jangan Lupa Temujanji Kita:


Komen:
Bahan siaran adalah seperti SUMBER yang dinyatakan.

 http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=4960:senarai-panjang-perilaku-terkutuk-dan-zalim-umnobn-merampas-tanah-rakyat&catid=36:berita-nasional&Itemid=84

Lagi Umno Rampas Tanah; Generasi Kedua Felda Jadi Mangsa

Tanah Generasi ke-2 Felda yang bertempat di Felda Ketengah Jaya, Mukim Paka kini dirampas oleh agensi KETENGAH sebagai sebuah institusi kerajaan yang ditubuhkan di wilayah Terengganu tengah. Hasrat sebenar penubuhan Ketengah adalah untuk membantu dan memajukan negeri Terengganu.

Sudah berjuta peruntukan dilaburkan di Ketengah tetapi sehingga kini ianya tidak dapat dibanggakan. Bahkan kerugian, kegagalan mau pun salah urus serta penyelewengan dan pecah amanah diketahui umum oleh rakyat. Ianya menjadi institusi yang diambil kesempatan oleh para pemimpin Umno-BN sendiri.
Ia menjadi tempat bersemayam Datuk Idris Jusoh apabila BN kalah pada tahun 1999 di Terengganu. Pernah Ketengah menjadi masyhur apabila pecahnya penyelewengan yang dilakukan oleh bekas Menteri luar Bandar sendiri iaitu Anuar Musa dalam agensi Ketengah melibatkan berjuta ringgit.

Kereta beliau ditangkap tetapi tuannya bebas. Pegawai Ketengah pula akhirnya menjadi kambing hitam. Ketengah terus dilaburkan dengan duit rakyat manakala sejauhmana rakyat dikawasan Ketengah ini maju, dibangunkan serta bebas dari kemiskinan amat jauh dari angan-angan dan cita-cita. Bandar Ketengah Jaya, Bukit Besi bahkan Bandar Muktafibillah Shah sendiri masih lagi jauh ketinggalan.

Terbaru kini mereka bersekongkol bersama pimpinan Umno-BN untuk menzalimi rakyat mereka sendiri yang sepatutnya mereka dibantu. Kepercayaan yang diberi dengan undi daripada masyarakat Felda sepatutnya dibalas dengan membantu serta menaikkan taraf hidup mereka tetapi malangnya mereka pula dikhianati. Adakah pihak kerajaan menganggap bahawa mereka ini golongan bodoh yang boleh diambil kesempatan keatas mereka?

Tanah Generasi ke-2 Felda, iaitu tanah yang telah dikeluarkan dari akta GSA untuk dibahagi-bahagikan kepada generesai anak-anak peneroka gugusan Felda Kerteh 1,2,3,4 dalam Daerah Dungun serta Felda 5&6 untuk Daerah Kemaman. Setelah mendapat kelulusan diperingkat Pejabat Tanah daerah dengan sokongan oleh jabatan-jabatan serta mendapat kelulusan PTG negeri dan Exco MMKN Terengganu.

Ia dipecahkan seluah 1,090 lot. Bayangkan ianya akan menjadi perkampungan baru yang boleh menjadi pemangkin pembangunan daerah. Seramai 560 orang dikalangan anak-anak peneroka ini telah dipilih namanya untuk sessi pertama dan 500 orang lagi bakal menjadi penghuninya untuk sessi ke-2. Memandangkan kekangan kewangan pihak kerajaan ketika itu, atas kesepakatan dikalangan peserta serta Jawatan Kuasa Tanah Gen-2 Felda yang ditubuhkan, mereka sepakat untuk menyegerakan seliaan tanah tersebut dengan mengupah kontraktor membersih dan stacking tanah yang berbukit dan berhutan itu. Mereka mengeluarkan RM1,300.00 seorang dan mereka juga mengupah juru-ukur swasta sehingga ke peringkat selesai menanam tanda batu sempadan. Semua urusan kewangan diurus dan dipegang oleh pihak lawyer Zabidi & Co.

Satu majlis penyerahan dan undi lot juga telah diseliakan oleh Pejabat Tanah Daerah Dungun dan ianya disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu sendiri pada tahun 2003.

Tetapi harapan generasi anak-anak peneroka Felda untuk memiliki tanah mereka sendiri akhirnya terhenti akibat daripada nafsu buas pemimpin Umno-BN sendiri. Keangkuhan dan kesombongan serta dendam kepada kepimpinan terdahulu menyebabkan mereka sanggup mengarahkan kerja-kerja tunjuk lot dan semua pengurusan dibatalkan serta merta.

Inilah pengkhianatan yang akan terus terpahat diminda rakyat meskipun sejuta alasan yang mereka suarakan. Sepatutnya mereka meneruskan hak anak-anak peneroka ini dengan member hak milik, bahkan sepatutnya memberi pinjaman mudah untuk mereka memiliki rumah sendiri. Kesemua mereka adalah penganut agama Islam dan 100% adalah orang melayu. Dimana sebenarnya slogan membela melayu yang dilaungkan?

Kini tanah tersebut dirampas dan diserahkan kepada pihak Ketengah yang dikatakan untuk membangun kawasan Bandar dengan pembinaan perumahan. Bahkan sekali lagi ia mengecewakan anak-anak peneroka. Bukannya hendak dibahagikan kepada anak-anak generasi kedua Felda tetapi akan dikormesialkan dengan membina rumah untuk dijual dengan nilai RM200K sebuah. Secara langsung telah menafikan hak anak-anak peneroka ini. Sedangkan pihak Ketengah memguasai hampir 650,000 hektar tanah yang mereka boleh bangunkan Bandar atau projek dimana sahaja tetapi malangnya kenapa dipilih tanah yang sudah dibersihkan, yang diseliakan untuk rakyat ini?

Inilah sikap dan hati perut sebenar pemimpin Umno-BN. Yang menghairankan kita, tindakan zalim dan rakus sebegitu yang dilakukan oleh pemimpin Umno-BN, masih ada lagi orang yang menyokong dan bersekongkol dengan mereka. Kalau ini berlaku dikalangan masyarakat Cina maupun India atau bangsa lain, nescaya mereka tidak berani melakukan tindakan jahat ini. Mereka tahu bahawa orang cina atau bangsa lain akan menentang kezaliman seperti itu.

Apabila ianya berlaku sesama bangsa mereka maupun seagama mereka, mereka dengan rakusnya meneruskan agenda jahat ini. Sampai bila mereka harus mebiarkan kezaliman ini berlaku?

Ustaz Satiful Bahri Mamat
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu


Bahan siaran adalah seperti SUMBER yang dinyatakan.
http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=4881:lagi-umno-rampas-tanah-generasi-kedua-felda-jadi-mangs&catid=52:ulasan&Itemid=97

Rampasan Tanah Penduduk Kampung Banggol Donas; Fakta Yang Mesti DiKetahui

Kampung Banggol Donas terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu Parlimen kuala Nerus. Sekiranya Projek Jalan dan Jambatan Kampung Jeram yang merupakan susur keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur ini dilaksanakan sepenuhnya, Kampung Banggol Donas akan hilang dari muka bumi.


Maklumat Asas

1.    Projek ini di bina secara runding terus menggunakan DANA KHAS negeri Terengganu

2.    Tempuh projek selama 3 tahun bermula Dis 2009-Dis 2012.

3.    Keseluruhan projek ini panjangnya 7.6 kilometer, termasuk 2 kilometer naik taraf Jalan Persekutuan FT03. Fasa 1 dari Kg.Banggol Binjai ke Jeram Tokkong sejauh 2 kilometer. Fasa 2 dari Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuna Muda sejauh 3.6 kilometer. Kedua-dua fasa di hubungkan dengan sebuah jambatan Sungai Nerus, panjangnya 200 meter.

4.    Projek ini di awardkan kepada MZ Hakujaya Sdn Bhd, salah seorang pengarahnya ialah Ketua Pemuda UMNO  Terengganu.

5.    Tempoh pembinaannya  selama 3 tahun bermula  Jan 2010-Dis 2012.

6.    Lebuhraya ini dibna sebagai jalan susur LPT2 dari Gemuruh ke Kuala Terengganu. Jalan susur ini bukan keperluan terdesak kerana jalan sedia sudah memadai untuk menampung perjalanan ke Kuala Terengganu.

7.    Kos projek sepertimana yang di lapurkan dalam  akhbar  Sinar  bertarikah 25hb. Jan 2010 bernilai RM226 juta, mungkin  menjadikan sebuah projek jalan antara yang termahal di bina di negeri Terengganu. Ianya lebih mahal dari LPT2 bagi satu kilometer-
8.     Pada 17hb. Jun 2010 akhbar Sinar melapurkan Menteri Besar berkata cadangan asal jalan diubah, antara sebabnya mengurangkan pengambilan tanah. Namun kontraktor meneruskan kerja tanpa henti.

Bantahan Penduduk

Bantahan PERTAMA- Kerajaan menafikan keadilan sosial penduduk kampung:

1.    Pembinaan Fasa 2 dari Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda melibatkan 22 buah rumah kediaman di kg. Banggol Donas.

2.    Lebuhraya yang melibatkan kawasan kediaman di kg. Banggol Donas boleh di elak sekiranya jajaran dari kg. Banggol Tuan Muda diluruskan melalui tanah lapang milik sebuah syarikat korporat ditepi kampung.

3.    Yang anehnya dan menjadi tandatanya kenapa jajaran dari kg. Banggol Tuan Muda bila tiba dihadapan  kg. Banggol Donas di lencong ke kiri melenyapkan 22 buah rumah kediaman dan melencong pula ke kanan menuju ke kg. Jeram setelah melepasi kampung Banggol Donas.

4.     Projek ini melenyapkan  sebahagian  perkampungan asal orang melayu  di kg. Banggol Donas, dimanakah amalam slogan rakyat di dahulukan kalau kerajaan memlih rumah dan tanah orang melayu untuk di korbankan dan menyelamatkan tanah milik korporat yang akan
Juga akan mendapat keuntungan berganda setelah projek siap. Dimanakah kewajarannya?


5.    Pembinaan jalan ini lebih banyak menyusahkan saki baki penduduk kampung kerana pengambilan tanah untuk jalan ini  melebihi  200 kaki lebar dengan ketinggian hampir 13 kaki.

Bantahan KEDUA - Tidak mematuhi Akta Pengambilan Tanah 1960 (akta 486) Penduduk di nafikan hak untuk di beritahu

1.    Pemilik tanah tidak pernah di beritahu bahawa tanah mereka akan di ambil oleh kerajaan. Seksyen 4(1) APT 1960 menyatakan.” ....Apabila Pihak Berkuasa Negeri berpuashati bahawa mana-mana tanah yang di perlukan bagi apa-apa maksud yang di sebut dalam seksyen 3 maka suatu pemberitahuan dalam Borang A hendaklah disiarkan dalam warta.”

Apabila notis dalam Borang A tidak di sampaikan kepada pemilik tanah seperti yang di kehendaki oleh Seksyen 4(1), ianya tidak ada ketelusan, menggambarkan ada perkara yang hendak disembunyikan  dari diketahui pemilik tanah dengan niat yang tidak baik.

Penduduk di nafikan hak menghujah dan membantah-
1.    Pembinaan lebuhraya ini dimulakan sebelum tanah milik di wartakan di bawah seksyen 8 APT 1960. Pencerobohan ini seolah-olah direstui  apabila EXCO JKR membuat lawatan tapak pembinaan pada 3hb. Ogos 2010 sebelum tanah tersebut di wartakan pada 28hb. Oktober 2010.

2.     Dalam isu pembayaran pampasan, pemilik  di nafikan untuk membantah amaun pampasan. Pejabat Tanah bertindak melanggar seksyen 16 APT 1960 “yang menghendaki menyediakan dan menyampaikan suatu notis dalam Borang H kepada setiap orang yang berkepentingan pada tanah itu “Pejabat tanah hanya mengeluarkan notis  yang tertulis SALURAN 2 meminta menghadiri satu majlis penyampaian cek pampasan.

Selain dari itu kaedah kedua pula, Pejabat Tanah  menghantar notis(bukan borang H) kepada pemilik tanah meminta pemilik tanah mengambil cek pampasan di pejabat tanpa menyatakan nilai pampasan .

[Gambar kiri - Tanah perkuburan turut menjadi mangsa, semakin mengecil kerana dikorbankan akibat pembinaan jalan yang tidak sah ini ]

Persoalan  disini ialah siapa yang mengarahkan penyediaan cek pampasan sebelum Borang H di keluarkan kepada pemlik tanah?. Sepatutnya cek bayaran disediakan setelah pemilik tanah bersetuju dengan award dalam Borang H atau pun setelah keputusan perbicaraan mahkamah sekiranya pemlik tanah memilih untuk membantah amaun yang di tawarkan dalam Borang H.

Kedua-dua kaedah tersebut tidak mematuhi  seksyen 16APT 1960  yang menghendaki notis Borang H di kemukakan terlebih dahulu kepada pemilik tanah. Tindak Pejabat Tanah ini seolah-olah memaksa pemilik tanah supaya bersetuju dengan amaun yang di award oleh kerajaan dan tindakan ini dengan jelas menafikan hak pemilik tanah yang dijamin di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 13(ii) ....Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi”.

Tindakan Penduduk

1.    Penduduk kampung bertindak menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak dan menghantar surat bantahan pertama kepada Pengarah JKR Negeri pada 31hb. Jan. 2008 dan salinan kepada Menteri Besar Terengganu. Susulan kepada surat tersebut suatu perjumpaan diadakan dengan Pengarah JKR pada 11hb. Feb 2008 di hadiri sama oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus.

2.    Selain surat kepada JKR Negeri, surat-surat bantahan juga telah di hantar kepada Menteri Besar, Perdana Menteri, Pihak Berkuasa Negeri,  Ketua pengarah JKR, Menteri Kerja Raya, Pejabat Tanah Kuala Terengganu dan konsultan seawal tahun-tahun 2008, 2009 dan 2010 Kesemua surat tersebut tidak mendapat respons kecuali surat kepada Perdana Menteri dan surat kepada Ketua Pengarah JKR. Dimanakah slogan merakyatkan pembangunan kalau surat-surat tidak di jawab?

3.    Pada 8hb Oktober 2010 menghantar Memorandum kepada SUHAKAM dan pada 11hb. Okt 2010 SUHAKAM menulis surat kepada kerajaan Negeri meminta supaya kerja-kerja pembinaan diberhentikan buat sementara, berunding dengan pemilik tanah berhubung dengan bantahan jajaran dan meminta Pihak Berkuasa  mematuhi procedur Akta Pengambilan Tanah 1960. Permintaan SUHAKAM tidak dipedulikan, dialog dan perundingan tidak diadakan seolah-olah penduduk kampung menduduki tanah haram.

[Gambar kanan bawah - tanah kosong yang telah dicadangkan sebagai jajaran tetapi telah diabaikan kerana kepentingan pihak tertentu]

4.    Pada 11hb. Mei 2011, menghantar MEMORANDUM kepada Menteri Besar Terengganu meminta jajaran di ubah. Malangnya sebelum membaca memorandum Menteri Besar mengatakan jalan tidak boleh di ubah kerana jalan sudah buat. Persoalannya kenapa surat-surat kami yang telah di hantar 2 tahun sebelum pembinaan dimulakan langsung tidak diambil kira. Kenapa membenarkan kontraktor memulakan pembinaan sebelum tanah di warta?

5.    Pada 12hb. Jun 2011, membuat lapuran ke SPRM Kuala Terengganu. Penduduk masih menunggu hasil dari lapuran salah guna kuasa dan tidak mematuhi procedure dalam pelaksanaan projek.

Desakan Penduduk Kampung

1.    Jajaran di kawasan penempatan di kampung Banggol Donas di kaji semula, diubah dan “re- align”untuk menyelamatkan kawasan penempatan melayu.

2.    Memberhentikan kerja-kerja pembinaan dalam kawasan penempatan sehinggalah kajian semula jajaran selesai.

3.     Pihak Berkuasa Negeri mengadakan dialog terbuka dengan penduduk kampung Banggol Donas.

4.    Pelaksanaan projek ini hendaklah mematuhi kesemua Procedure Akta Pangambilan Tanah 1960 untuk melindungi kepentingan pemilik tanah berdasarkan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkembangan Terkini


Pembinaan jalan di kawasan kampung (penempatan) masih belum dimulakan kecuali  jalan sementara yang menghubungkan hadapan dan belakang kampung.

Haji Salleh Embong
Pengerusi Gerakan Pebelaan Tanah Rakyat Terengganu (GEMPAR)
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Banggol Donas 


Bahan siaran adalah seperti SUMBER yang dinyatakan.
http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=4892%3Arampasan-tanah-pnduduk-kampung-banggol-donas-fakta-yang-mesti-diketahui&catid=51%3Akenyataan-media&Itemid=1

Hentikan rampasan Tanah rakyat; Jom Demo 24 April Depan Wisma Darul Iman!

Seorang wartawan Utusan mengajukan soalan, apakah pembangkang nih parti demo? Tak boleh ambil pendekatan lain ke yang lebih lunak? Soalan kura2 dalam perahu. Wartawan sendiri tahu bagaimana minda & pemikiran ahli politik Umno-BN. Mereka masih lagi pengamal politik penjajah.
Mereka yang ada kuasa boleh buat apa saje yang mereka suka. Peranggai orang England yang masih ingat bahawa mereka masih lagi sebagai Penjajah British yang hebat. Mereka adalah The Bulldog bagi Eropah.

Sepatutnya mereka adalah pemimpin yang mewakili rakyat perlu mendengar dan menyuarakan suara rakyat tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dengan kuasa yang diberi oleh rakyat akhirnya mereka menjadi juara penindas serta penzalim keatas rakyat.
Dalam isu demo nih saje je penulis menjawab persoalan yang disuarakan oleh wartawan itu "Kita belajar dari demontrasi yang dianjurkan oleh Umno ketika menentang Malayan Union... Kenapa sekarang Pas buat tak boleh? Tidakkah Umno yang ajar?"

Dalam isu Rampasan Tanah Rakyat yang berlaku semenjak Umno-BN mengambil alih pemerintahan sejak 2004, maka bermulalah era kezaliman dan rampasan tanah rakyat ini yang melibatkan tanah lot perumahan, pertanian bahkan masjid maupun madrasah. Bagi mereka yang membujur lalu dan yang melentang patah. Mereka cuba menghapuskan semua tanda yang membuktikan jasa kerajaan BA tahun 1999-2004 kepada rakyat.

Kita telah mengambil pelbagai pendekatan bagi menuntut agar dikembalikan hak mereka yang terlibat. Pertemuan dan perbincangan dengan Pegawai tanah daerah, bertemu dengan pihak PTG, report ke pihak SPRM, bertemu Exco, Nak berjumpa dengan MB, serah memo kepada setiusaha beliau, melalui mahkamah dan pelbagai jalan yang diusahakan tetapi benarlah kata A.Samad Said selaku seniman Negara bahawa pemimpin Umno-BN ini mempunyai dua lidah tetapi satu telinga sahaja.

Mereka hanya pandai member janji tetapi gagal mendengar suara hati rakyat. Kerana itulah pencegahan munkar itu daripada cegahan hati yang merupakan selemah iman hendaklah disuarakan dengan lidah dan menzahirkan bantahan fizikal agar pemimpin Umno serta rakyat perlu disedarkan dengan kezaliman yang berlaku ini.

Sebab itu pas mengambil keputusan untuk menyokong bantahan dan demo yang akan diadakan oleh pihak mahasiswa terhadap Yayasan Terengganu yang dipengerusikan oleh MB Ahmad Said sendiri pada 18hb April ini jika terus berdegil untuk tidak menyambung kembali hak pinjaman 9 orang pelajar di Mesir. Pertemuan, dialog serta perjumpaan dengan pihak Yayasan dengan rayuan, desakan, memorandum. Tetapi jika sememangnya pemimpin Umno ni jenis keras hati maka suara rakyat perlu digerakkan.

Pas Terengganu mengambil ketetapan untuk bersama rakyat mengadakan demontrasi besar-besaran pada 24hb April ini di Wisma Darul Iman sempena persidangan Dun Terengganu yang kita menjangkan bahawa semua adun bahkan MB berada di Wisma dan boleh menerima memorandum rakyat untuk diserahkan.

Ini merupakan mobilisasi suara rakyat bersama Ngo’s seperti GEMPUR, GEMPAR, ANAK, WARIS dan semua Ngo yang bersimpati dan membela rakyat. Ia berkaitan dengan sifat rakus pimpinan Umno-BN yang merampas hak rakyat menyentuh isu tanah di:-

1. Tanah I-Sharp yang bakal melibatkan tanah rakyat untuk pembinaan kolam udang di Setiu.
2. Tanah jelapang padi di Langkap yang melibatkan petani lebih daripada seratus orang yg diambil untuk diserahkan kepada syarikat untuk dikomesialkan.
3. Tanah Banggol Donas yang melibatkan pembinaan Highway.
4. Tanah Generasi kedua Felda melibatkan 1,090 lot di Ketengah Jaya yang dirampas untuk dikomesialkan
5. Tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan yang dirampas oleh 5 JKKK di Kampung Limbong, Paka
6. Bantahan Anak terhadap penyerahan tanah Felda Plantation yang akan diserahkan kepada FGVH untuk diapungkan di Bursa saham.

Inilah signal rakyat agar pemimpin perlu cakna dan menyelesaikan isu rakyat ini dan diharapkan semua rakyat sedar dan boleh menggunakan kuasa undi mereka bagi menggantikan pimpinan yang sombong dan angkuh ini dalam Pru yang akan datang. Kejatuhan Umno-BN adalah sebagai jawapan yang paling tepat untuk menyelesaikan permasalah ini.

Ustaz Satiful Bahri Mamat
Timbalan Pesuuhjaya 1 PAS Terengganu


Bahan siaran adalah seperti SUMBER yang dinyatakan.
http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=4910:hentikan-rampasan-tanah-rakyat-jom-demo-24-april-depan-wisma-darul-iman&catid=52:ulasan&Itemid=97

Pendemokrasian Tanah; Rampas Tanah Rakyat, Beri Tanah Kepada Pemimpin Umno?


DUNGUN - Tidak ada pendemokrasian dalam pengagihan tanah oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu sebagaiamana yang diumumkan oleh Menteri Besar Dato’Seri Ahmad Said kepada pihak media baru-baru ini.
Yang ada hanyalah, menurut anggota Badan Penhubungan PAS Terengganu Dr Azman Ibrahim ‘pengkronian’ tanah, rampas tanah rakyat dan beri tanah kepada pemimpin Umno.

“Tanah rakyat dia rampas, untuk wakil rakyat dia, dia beri…..mana ada pendemokrasian tanah macam yang Ahmad said kata? Yang saya Nampak pengkronian dalam pembahagian tanah,

“rampas tanah rakyat kemudian berikan kepada ‘kroni’, kayakan diri (pemimpin) sendiri,”tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah isu-isu semasa di Kampung Jerangau Sungai pada Khamis 19 April ketika mengulas kenyataan Ahmad Said tentang isu tanah sebagaimana dilaporkan agensi Bernama pada 17 April.

Ahmad Said berkata, pentadbiran beliau mengagihkan tanah kepada rakyat melalui sistem pendemokrasian tanah rakyat Terengganu.

Menurut Ahmad, kononnya, kerajaan negeri memberikan tanah pertanian dan tanah tempat tinggal kepada anak negeri Terengganu yang tidak memiliki tanah.

Sebelum itu, menurut  Dr Azman yang juga Naib Yang DiPertua PAS Setiu, tanah-tanah yang telah diberikan oleh kerajaan PAS kepada seeluruh rakyat Terengganu telah dirampas sejak Umno/BN mengambil alih pentadbiran pada tahun 2004.

Antara tanah yang dirampas kata beliau adalah 70 lot tanah Rancangan Tanah Berkelompok Kubang Labi di Permaisuri Setiu, untuk di jadikan kolam penternkaa udang putih.

Selain itu, kerajaan Umno melalui melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Paka telah merampas tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan dan diberikan kepada lima orang JKKK terbabit.

Kerajaan Umno juga merampas tanah-tanah warisan dan tempat tinggal penduduk Kampung Banggol Donas dalam Parlimen Kuala Nerus untuk dijadikan projek  susur keluar lebuh raya yang dibina oleh syarikat milik Ketua Pemuda Umno Terengganu.

Bukan sahaja merampas tanah rakyat, menurutnya, Umno/BN zalim dengan memberikan tanah yang baik dan lebih luas kepada wakil-wakil rakyat Umno yang sudah pun memiliki banyak tanah.

Katanya seorang ahli Parlimen dan tiga orang wakil rakyat Umno di Besut telah dianugerahkan tanah seluas 1 hektar (2.5 ekar) seorang di kawasan Dendong, mukim Tembila Besut.

Turut menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut adalah Ketua Penerangan Pas Dungun Ustaz Nordin, Timbalan ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan bekas selibriti, Bob Lokman.

Bahan siaran adalah seperti SUMBER yang dinyatakan.

PAS Cadang Naikkan Subsidi Harga Padi

SETIU - PAS mencadangkan agar subsidi harga padi petani dinaikan setelah 22 tahun tidak pernah dikaji semula jika kerajaan Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kedah, Ir. Amiruddin Hamzah berkata pihaknya telah berbincang serta bersetuju menaikan subsidi harga padi.

Katanya, subsidi harga padi telah lama tidak dikaji semula dan kenaikan sebanyak 50 peratus dicadangkan kepada Pakatan Rakyat.

Menurutnya, cadangan tersebut telah dibawa berbincang serta bersetuju dimasukkan dalam manifesto pilihan raya akan datang.

“Kita (PAS) telah berbincang dan bersetuju untuk mencadangkan dimasukkan dalam manifesto bahawa skim subsidi harga padi ini dinaikan sebanyak 50 peratus.

“Kenaikan (subsidi) ini pun beban kerajaan yang ditanggung itu tidaklah sebesar mana setelah 22 tahun tidak pernah dikaji dan kali terakhir itu ketika Dato’ Seri Anwar menjadi Menteri Pertanian.

“Kita anggarkan bebanan tanggungang kerajaan sekitar RM260 juta sahaja setahun untuk 160,000 keluarga petani di seluruh semenanjung (Malaysia),” ujarnya pada satu Sidang Media Tuntutan Petani Kampung Jelapang Sempena Lawatan Exco Pertanian Kedah di Surau Kampung Jelapang, Setiu, 14 April lalu.

Selain itu, beliau mendesak agar kerajaan Terengganu segera memberikan hak milik tanah kepada para petani yang mengusahakan kawasan tersebut.

Ini kerana, katanya para petani terbabit telah mengusahakan tanaman padi di Kampung Jelapang, Setiu sejak puluhan tahun hingga kepada generasi ketiga.

“Lujnah  Asas Tani PAS Pusat dan Lujnah Asas Tani Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu bersama dengan petani di Kampung Jelapang ini yang telah membuat beberapa tuntutan terhadap tanah yang telah mereka usahakan.

“Kita difahamkan telah memasuki generasi ketiga telah lebih 34 tahun. Asasnya ialah tentang hak milik mereka (petani) yang masih belum diberi layanan yang sepatutnya oleh kerajaan negeri,” jelasnya.

Beliau mendakwa sebelum ini ketika era pemerintahan kerajaan PAS Terengganu tahun 1999-2004 telah dikeluarkan Lesen Menduduki Sementara (LMS) kepada para petani terbabit.
Namun, katanya kelulusan tanah tersebut telah ditarik balik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kembali berkuasa di Terengganu.

“Sebelum ini, era kerajaan PAS Terengganu tahun 1999-2004, mereka (petani) telah pun diberikan hak milik sementara iaitu Lesen Menduduki Sementara (LMS) sebelum jadi hak milik kekal selepas itu.

“Malangnya, LMS itu telah ditarik balik selepas kerajaan BN kembali berkuasa di negeri ini. Kerajaan negeri seharusnya menimbangkan untuk memberi hak milik kepada mereka (petani) dan harus diselesaikan segera,” ujarnya.

Selain itu, katanya input-input pertanian lain seperti baja, benih, racun serta bantuan membajak perlu disediakan oleh kerajaan kepada petani di Jelapang ini.

Menurutnya, PAS merayu agar potongan padi yang dikenakan oleh pengilang kepada petani tidak terlalu tinggi hingga mencecah 50 peratus.

“Potongan padi yang terlalu tinggi hingga 50 peratus oleh sebahagian pengilang. Kita (PAS) merayulah supaya potongan tidak terlalu tinggi hingga menyebabkan mereka (petani) tidak mempunyai hasil atau pulangan yang lumayan dari apa yang mereka usahakan.

“Seharusnya tidak ada monopoli oleh mana-mana kilang untuk membeli padi di Kampung Jelapang ini,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Ketua Penerangan PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa Lujnah Asas Tani PAS Pusat.

Bahan siaran adalah seperti SUMBER yang dinyatakan.
http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=4941:pas-cadang-naikkan-subsidi-harga-padi&catid=36:berita-nasional&Itemid=84