Album

Album
Album2010

Sunday 27 April 2008

Terengganu Rancang Buka Jelapang Padi Di Setiu

27 April, 2008 20:56 PM

KEMAMAN, 27 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu merancang membuka 3,200 hektar kawasan sawah padi dalam usaha untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan beras negara, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said. Beliau berkata projek itu yang akan dilaksanakan di Setiu melibatkan penanaman padi tiga kali setahun dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Katanya kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan projek itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mendapatkan peruntukan. "Projek ini akan dilaksanakan sebaik kami mendapat peruntukan daripada kementerian," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) kampus Wilayah Timur di sini hari Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong dan Pengarah Intan, Dr Mohamad Hamzah. Beliau berkata wakil kerajaan Terengganu telah melawat kawasan tanaman padi di Sekinchan, Selangor bagi melihat pelaksanaan projek penanaman padi tiga kali setahun itu.

"Kami akan menggunakan kawasan tanaman di Sekinchan sebagai model untuk pelaksanaan projek di Setiu nanti," katanya. Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata sehingga kini beliau belum dimaklumkan jumlah royalti minyak yang diterima oleh Terengganu.

"Rakyat nak tahu berapa jumlah royalti minyak yang diterima termasuk jumlah yang sudah dibelanja serta bakinya dan saya sendiri tidak boleh menjawab mengenai perkara itu (royalti)," katanya. Beliau berkata perkara itu akan menjadi agenda dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dijangka diadakan pada pertengahan bulan depan.

-- BERNAMA 
SUMBER: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=329362

No comments:

Post a Comment