Petani Jelapang Padi kecewa
Tarikh : November 14, 2011
Perhimpunan yang diadakan di kawasan sawah padi Jelapang itu berlangsung kira-kira satu jam bertujuan agar Kerajaan Negeri mengembalikan tanah sawah mereka untuk diusahakan sendiri.
Turut hadir pada perhimpunan itu Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri, Muhyidin Abdul Rashid, Yang Dipertua Pas Kawasan Setiu, Pauzi Muda dan Setiausaha Pas Setiu, Aminuddin Umat.
Menurut Muhyidin, perhimpunan aman itu dibuat setelah didapati berlaku penganiayaan pada petani selain menuntut hak milik tanah kerana ada sebahagiannya telah meneroka kawasan itu sejak lebih 40 tahun lalu.
“Telah banyak keringat dicurahkan untuk memajukan kawasan ini, apabila kerajaan mengisytiharkan kawasan seluas 400 hektar ini sebagai Jelapang Padi Nasional pada 2009 ia telah menyebabkan hak petani seolah-olah dipinggirkan.
“Petani di kawasan ini tidak menolak projek mega yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM48 juta itu mempunyai tujuan yang baik tetapi biarlah ia memberi manfaat kepada semua golongan,” katanya.
Beri geran kepada petani
Muhyidin berkata, sebagai tanggungjawab membela nasib rakyat di negeri ini, Pas Terengganu akan menyokong setiap tuntutan dari petani iaitu dari aspek pemberian hak milik tanah kerana semasa pemerintahan Pas pada tahun 1999-2004, kerajaan Pas telah mengeluarkan lesen tumpangan kepada 100 peserta dengan keluasan sebanyak 80 hektar.
“Namun pada 2005, Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah tidak menyambung lagi lesen tersebut sehinggalah tanah itu menjadi tanah padi terbiar.
“Kita mengharapkan kerajaan sekarang dapat mempertimbangkan semula dengan memberi geran kekal kepada petani terlibat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhyidin yang juga merangkap Pengerusi Lajnah Pertanian turut meminta kerajaan membayar subsidi padi kepada petani di kawasan ini dari 2009 hingga 2011.
“Selain itu, penyelarasan ban-tuan input pertanian perlu dilakukan secara adil kerana saya difahamkan terdapat segelintir petani di kawasan ini yang mendapat bantuan lebih daripada sepatutnya.
“Kita meminta pihak berkenaan dapat membuat penilaian semula agar semua petani mendapat ban-tuan seperti yang dijanjikan tanpa dipinggirkan hak mereka,” katanya.
Katanya, petani di Kampung Jelapang ini juga turut memohon agar hasil padi tidak dikenakan potongan yang tinggi kerana daripada rungutan yang diterima ada menyatakan mereka terpaksa berhadapan dengan potongan sehingga 60 peratus.
“Jika keadaan ini berterusan sampai bila pun petani tidak mampu hidup senang walaupun hampir setiap hari menggunakan keringat untuk mengusahakan tanaman padi mereka.
“Manakala tuntutan yang terakhir adalah petani memohon agar diberi peluang menjual hasil padi kepada pembeli yang menawarkan harga lebih tinggi tanpa terikat pada pihak Bernas sahaja,” katanya.
Penduduk kecewa
Sementara itu, menurut seorang penduduk, Abdul Rahman Awang Noor, 61, tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan amat mengecewakan penduduk yang telah lama meneroka tanah di kawasan ini.
“Jika betul kerajaan mengamalkan dasar mendahulukan hak rakyat tetapi masih tiada jalan penyelesaian ia diibaratkan cakap kosong semata-mata.
“Memang kita akui tanah di kawasan ini hanyalah tanah yang diteroka tetapi berdasarkan sifat perikemanusiaan apa salahnya kerajaan mempertimbangkan hak kita,” katanya yang mula mengusahakan tanah pada 1982.
Manakala seorang lagi petani, Naimah Daud, 54, berasa seperti dipermainkan oleh pihak yang terlibat kerana semasa proses pengambilan tanah dia tidak diberitahu apa-apa pun.
“Memandangkan saya ibu tunggal yang mempunyai 12 orang anak keadaan ini cukup memberi tekanan kerana usaha yang dilakukan bersama arwah suami dulu tidak dapat membawa sebarang keuntungan.
“Saya harap kerajaan dapat membantu petani di sini dengan apa cara sekalipun sebelum menjelangnya pilihan raya nanti,” katanya.
Bahan siaran adalah seperti SUMBER yang dinyatakan.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/petani-jelapang-padi-kecewa
No comments:
Post a Comment