Album

Album
Album2010

Thursday, 18 August 2011

Sasar Terengganu jelapang padi

SETIU – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yakin apabila siap sepenuhnya projek jelapang padi di kampung Jelapang, Setiu nanti akan dapat mengeluarkan hasil padi sebanyak 85 peratus bagi menampung keperluan rakyat pada masa akan datang.

Menurut Ahmad, kawasan jelapang yang berkeluasan 720 hektar ini adalah kawasan padi yang terbaik dan sistematik dibina di negeri ini kerana setiap empat hektar tanah itu disediakan satu tali air dan infrastruktur jalan selesa.

“Setakat ini sudah 70 peratus projek jelapang padi disiapkan dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya 280 hektar kawasan jelapang itu akan dapat ditanam pada tahun ini juga.

“Buat permulaan ini, penanaman padi peringkat pertama telah mula ditabur pada awal April lalu namun disebabkan hujan yang tidak dijangka baru-baru ini ia rosak.

“Usaha ini akan dipastikan berjalan lancar dengan bantuan Jabatan Pertanian Negeri selaras dengan hasrat untuk menjadikan Terengganu sebagai salah sebuah negeri pengeluar padi utama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Setiu dan menugal jagung di kampung Langkap.

Ahmad berkata, sekiranya penanaman padi dilaksanakan dua kali setahun termasuk di kawasan jelapang padi di daerah lain yang telah sedia ada tidak mustahil hasrat untuk mencapai 85 peratus hasil pengeluaran padi bagi keperluan negeri ini tercapai.

“Sekiranya projek jelapang padi di Setiu berjaya selepas ini Kerajaan Negeri mungkin akan membawa sistem yang ada sekarang ke daerah Marang pula bagi menjadikan hasrat seratus peratus itu tercapai.

“Insya-Allah hasrat ini akan dapat direalisasikan sekiranya pelaksanaan dilakukan dengan betul dan saya berpuas hati dengan projek di Setiu termasuk di kawasan lain,” katanya.

Sempena lawatan kerja Menteri Besar ke Setiu, beliau berkesempatan beramah-mesra dengan penduduk kampung Langkap sempena jamuan rakyat dan melakukan acara menugal jagung secara tradisional di tapak penanaman jagung kampung Langkap.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris, wakil dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), Datuk Mat Razali Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, Abdul Halim Jusoh. 
 
SUMBER : http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8977375.asp

No comments:

Post a Comment