Album

Album
Album2010

Friday 23 September 2011

Insentif pesawah masih diteruskan

Insentif pesawah masih diteruskan
22/06/2011 05:35 admin 163


Para pesawah masih mendapat subsidi kerajaan walaupun beberapa insentif yang diperkenalkan sewaktu krisis harga makanan pada 2008 dihentikan mulai tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asan Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, antara yang masih diteruskan itu ialah skim subsidi harga padi, insentif pengeluaran padi, insentif peningkatan hasil dan insentif benih padi sah.


‘‘Ini termasuk pemberian input pertanian seperti baja NPK tambahan, racun dan kapur menerusi Program Jaminan Bekalan Makanan bagi tahun 2011.


‘‘Purata bantuan subsidi yang diberi ialah kira-kira RM2,300 setiap musim. Inilah ciri-ciri negara kebajikan yang kerajaan Barisan Nasional (BN) telah laksanakan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mendakwa kerajaan telah memberhentikan semua insentif yang diberikan kepada pesawah.


Noh bagaimanapun memberitahu, sememangnya terdapat segelintir pesawah masih belum menerima insentif bagi peningkatan hasil berikutan kementerian kini kekurangan peruntukan sebanyak RM117 juta bagi tujuan tersebut.


Namun jelas beliau, kekurangan peruntukan itu telah dipohon di dalam Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.


‘‘Kementerian akan menyalurkan peruntukan itu kepada Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) untuk proses pembayaran setelah peruntukan tersebut diluluskan,” ujarnya.


Sementara itu, menjawab soalan Dr. Mujahid Yusof Rawa (Pas-Parit Buntar) sama ada pemberian elaun bulanan kepada nelayan telah dihentikan berikutan terdapat aduan yang mendakwa tidak lagi menerimanya, Noh berkata, program itu masih diteruskan.


‘‘Sebenarnya nelayan yang dihentikan bantuan itu kerana mereka telah melanggar beberapa syarat. Antaranya kemungkinan lesen bot atau sampan mereka telah tamat dan tidak diperbaharui.


‘‘Tetapi sekarang kita telah beri kemudahan kepada mereka iaitu nelayan dibenarkan menghidupkan lesen sehingga tiga tahun,” katanya.


Utusan Online: SUMBER : http://www.nohomar.net/portal/index.php?page=news&op=readNews&title=Insentif+pesawah+masih+diteruskan

No comments:

Post a Comment